JellyPages.com

Wednesday, October 31, 2012

Sudahkah berakhir penantian ?

Assalamualaikum w.b.t . Salam sejahtera saya ucapkan buat semua pembaca setia blog ini .

Saya kini berada di minggu terakhir dalam latihan klinikal semester akhir saya di Hospital Raja Permaisuri Bainun , Ipoh , Perak . Terus - terang , klinikal kali ini adalah yang paling mencabar dan memenatkan bagi saya , namun saya tetap menguatkan semangat dan bersabar demi untuk menamatkan pengajian di kolej .

Meskipun saya sedar saya bukanlah insan yang "cepat tangkap" apa yang diajarkan , namun saya berusaha sebaik mungkin untuk memahami apa yang dipelajari . Saya bukanlah datang dari keluarga yang berlatarbelakangkan bidang perubatan , namun saya mencuba yang terbaik demi memenuhi harapan ibu bapa dan untuk menggapai impian saya sendiri . Setiap hari selepas solat , saya tidak putus - putus berdoa  agar Allah membantu saya mencapai kejayaan dalam pelajaran .

Itulah saja catatan hari ini . Sekian .


Bahagia Itu Dari Hati Yang Mengenal Tuhan!


  Takdir Allah bukan untuk di duga, tetapi dicipta. Bukankah Hilal Asyraf ada berkata, "Takdir itu hujung usaha!" Memang ada benarnya. Biarpun kita tidak boleh melawan takdir, bukan bermaksud takdir tidak boleh diubah. Yang dilihat bukanexistence tetapi essence.
Pasrah dan redha akan sesuatu harus diolah dengan baik yakni dengan ikhlas bukan terpaksa. Bertunjangkan nilai Islam, "Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya" kita dapat mencungkil hikmah dan kebaikan di sebalik sesuatu peristiwa. Bergantung di mana kefahaman kita untuk meletakkan kasih-Nya terhadap hamba.
Seharusnya kita tahu, medium fikir mempunyai ruang yang terhad dalam menggapai sesuatu maksud dan erti segala rahsia yang melingkari kehidupan manusia. Walaupun kini keagungan ilmiah dan intelektual manusia dikatakan menjadi asas pembinaan tamadun yang kita gapai sekarang. Namun kita dapat lihat terdapat banyak manusia yang meluahkan rasa kekosongan hati dan kehausan rohani dalam kejayaan yang mereka kecapi.
Dengan ini terbukti kemewahan dan kekayaan tidak memberi apa-apa manfaat apa-apa pun. Selama ini minda dan persepsi kita telah diprogram dengan baik di mana kita beranggapan kebahagiaan itu adalah dengan harta benda, kasih sayang sesama manusia, pangkat, populariti dan pelbagai lagi. Hakikatnya tidak.
Kebahagiaan mahupun kesedihan wujud atas faktor dalaman bukan luaran. Iaitu dipengaruhi dengan bagaimana cara kita berfikir dan mengolah bentuk kebahagiaan yang kita inginkan. Lihat orang miskin, kebahagiaan bagi mereka adalah kekayaan. Buat mereka yang tinggal dalam keadaan sepi mengharapkan teman dan sahabat untuk rasa bahagia. Setiap golongan manusia mempunyai definisi kebahagiaan dan kesedihan yang berbeza-beza.

Dan ketahuilah dalam Islam mempunyai satu definisi kebahagiaan yang terjamin keberadaannya setiap waktu, tempat dan ketika. Definisi ini dilandasi dengan elemen keislaman yang jitu dan universal. Ajaran daripada sunnah, para sahabat dan tabi'in. Tidak mampu diteroka oleh akal, tetapi hanya mampu dikuasai oleh hati. Itulah kebahagiaan dicintai Allah dan RasulNya.
Mengapa dicintai bukan mencintai?
Cuba renungkan seketika, tatkala Allah membenci kita adakah kita mampu untuk beribadah kepada Allah? Tidak! Kerana segala amal dan ibadah yang kita lakukan kepada Dia adalah atas rahmat, kurnia dan cintaNya terhadap diri kita bukan atas kudrat kita sendiri.
Ada satu riwayat kisah yang menyatakan sedemikian, yakni ada seorang tabii'n terbangun pada waktu malam dan melihat hambanya khusyuk beribadah dan bermunajat kepada Allah. Beliau terdengar hambanya berkata, "Ya Allah, demi cintaMu padaku..." lalu beliau menegurnya, "Seharusnya engkau mengatakan demi cintaku kepadaMu..." Tetapi hamba itu menjawab kembali, "Jika Allah tidak mencintaiku, mengapa dia membangunkanku untuk beribadah kepadaNya dan membiarkan kau tidur". Subhanallah, hebatnya cinta Allah kepada hamba-hambaNya.
Apabila seseorang hamba dicintai Allah maka dia akan diberi kefahaman agama oleh Allah. Itu sudah cukup bagi mereka untuk mendepani kegilaan dunia ini yang sering menduga dan menguji keteguhan iman. Dalam hidup mereka susah senang tidak menjadi isu, tetapi redha Allah. Di situ lah kebahagiaan akan tercipta.
Takdir yang menimpa akan diolah dengan seni jiwa kehambaan. Yang tampak indah akan diawasi agar tidak hanyut dan leka. Yang tampak berbentuk musibah dihiasi dengan kesabaran. Kesabaran itu suatu kurniaan yang paling besar untuk seorang mukmin. Satu hadis qudsi berbunyi, "Timpakanlah kepada hambaKu musibah kerana aku ingin mendengar mereka merintih kepadaKu"
Wajarlah saat kita berkata, "Kebahagiaan itu bukan dicari tetapi diraih!" Sesungguhnya terdapat seribu satu kebahagiaan lagi di sisi kita yang kita tidak sedar. Mereka tersembunyi dalam sudut hikmah dan ibrah. Hanya dapat disingkap oleh tingkah laku manusia Ulul Albab dan orang-orang mukmin.
Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyebut, "Bahawa orang-orang beriman itu tidaklah berasa takut dan bersedih hati." Kerana mereka insan yang mengenal Allah dan seluruh sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan tidak menduga-duga takdirNya dengan suatu kesan dan hasil yang buruk.
Firman Allah yang bermaksud;
"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah. Tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
(Surah Yunus ayat 62)
Seesungguhnya Islam itu terlalu indah. Seharusnya kita masuki Islam secara menyeluruh bukan secara berjuzu'. Maka dengan itu kita akan mampu keluar daripada tipu daya nafsu dan syaitan. Bebas daripada segala harapan palsu dan berjaya menuju hakikat hidup yang menempatkan kebahagiaan sejati yakni redha ilahi.
Justeru, bermula saat ini, marilah sama-sama kita mengorak usaha untuk mencipta takdir masuk ke SyurgaNya. Bersungguh-sungguhlah kita dan jangan lupa untuk bertawakal kepadaNya. Moga dengan mendekati Allah SWT, akan ada kebahagiaan dan kedamaian untuk kita, di dunia jua di akhirat sana.
Wallahu Anta A'lam. 

Monday, October 8, 2012

Menjadi Kaya atau Pelajar Cemerlang untuk apa ?


 Kadangkala kita ingin menjadi kaya, individu menarik , hebat atau cemerlang dalam pelbagai bidang. Tidak kira dalam bidang apapun. Contohnya sebagai pelajar, kita mungkin ingin menjadi pelajar cemerlang sekolah.Terbaik antara semua.  Ataupun sebagai perempuan  yang semakin meningkat usia, mungkin dia ingin kelihatan paling cantik. Tercantik antara semua. Ataupun seorang ayah yang yang ingin mempunyai gaji paling tinggi berbanding orang lain.

Mungkin tanpa kita sedar kita melakukannya kerana ingin membuktikkan sesuatu. Kita ingin menjadi hebat.Hebat dalam sesuatu perkara supaya kita diiktiraf. Lantas disebabkan itulah apabila kita berusaha dan masih gagal, menyebabkan kita kecewa. Kerananya kita membandingkan diri kita dengan sesuatu yang lebih hebat.

Inilah antara faktor yang memberi keyakinan diri yang kurang. Perbandingan dengan insan yang lebih hebat tetapi dari perspektif yang tidak adil kerana tujuan yang berbeza. Saya inginkan kongsikan sebuah komik ringkas yang begitu bermakna.
menjadi kaya
1.Kita tidak mestinya hilang keyakinan atau risau kita tidak hebat, cukuplah kita hebat di mata isteri kita untuk bahagia.
2.Ataupun, kita mungkin tidak hebat dari sudut peperiksaan, tetapi cukuplah kita hebat di mata  ibu bapa kita yang tahu kita telah berusaha mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan berusaha menjadi pelajar cemerlang.
3.Gaji kita mungkin rendah berbanding insan lain, tetapi cukuplah Allah SWT tahu kita telah melakukan kerja kita sebaik mungkin dan yang penting rezeki yang diusahakan itu diberkati.
4. Kita mungkin tidak perlu bergaji tinggi untuk memberi kebahagian kepada keluarga, tetapi cukuplah kita mempunyai masa dan ruang bersama insan tersayang dan anak-anak bersama mereka, lebih-lebih lagi ketika mereka memerlukan kita.
5. Kita mungkin tidak menjadi pelajar cemerlang sekolah, tetapi cukuplah kita cemerlang bagi Allah SWT dan keluarga.
Nyata kita tidak perlu menjadi hebat keseluruhanya.Jadilah hebat pada tempat yang betul dan pada orang yang betul, itulah sebenarnya kita perlu. Jadi tips hari  ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kita memikirkan kenapa kita ingin menjadi hebat dan kepada siapa tujuan sebenarnya.
Salam inspirasi! :-P

Motivasi Diri:Kita Tidak Mampu Mengembirakan..


Motivasi Diri:Kita Tidak Mampu Mengembirakan.. 
Hari ini saya ingin kongsikan tentang sebuah kartun yang menarik dan memberi satu pengajaran motivasi. Rasanya ramai pernah melihat atau mendengar kisah ini, di mana terdapat dua beranak yang mengembara dengan seekor keldai. Namun begitu, ada sahaja pendapat yang dilontarkan kepada mereka untuk setiap pekan yang dilalui. Tetapi dalam kartun ini, yang mengembara adalah sepasang suami isteri.
motivasi diri
Apa Pengajaran Cerita Motivasi Ini?
1. Setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza. Kita perlulah belajar untuk mendengar pendapat mereka. Namun begitu, perlulah kita ketahui tidak semestnya pendapat mereka benar belaka. Mungkin ada salahnya di situ. Jadi di sinilah peranan kita sebagai manusia dan khalifah untuk berfikir secara rasional berdasarkan prinsip agama dalam membuat pilihan yang betul.
“I don’t know the key to success, but the key to failure is trying to please everyone.”
2. Pernah saya terdengar sebuah quote mengatakan bahawa, kegagalan adalah di mana kita cuba mengembirakan hati semua orang. Ya, apabila kita cuba mengembirakan kesemua orang kesan akhirnya sebenarnya kita yang sakit dan menderita. Hal ini kerana bukan semua orang dapat kita puaskan dalam satu masa.
Lantas inilah yang telah membuat saya mula tidak ambil ralat dengan pendapat orang lain yang mempunyai unsur negatif. Jika kita terlalu mengambil dan mengenang pendapat mereka, kita tidak dapat hidup dengan tenang.
3. Ketahuilah apa yang kita mahu dan ingin dicapai. Janganlah hidup berdasarkan tiupan angin. Selagi kita tidak mempunyai impian, maka senanglah kita ditiup mengikuti pandangan orang.
4. Belajarlah untuk mempunyai pendapat dan prinsip sendiri. Sedikit demi sedikit ia akan membentuk keyakinan diri kita.
Ada pengajaran lain?
Salam inspirasi :-)

Sunday, October 7, 2012

Nilai Sebuah Kemaafan


Suatu ketika, pernah kah kita merasa seolah-olah ada sesuatu yang menganggu ruang fikir kita. Kita mencari-cari di mana arah punca gangguan itu. Hati kita terasa seperti berbuat silap. Tapi semakin kita mencari, semakin pula kusut ruang fikir kita. 
Pada satu saat yang lain, pernah kah kita tertanya sendiri, kenapa hati tidak tenang? Kenapa hati terasa masih lagi gelisah? Kenapa fikiran selalu saja melayang mengenang perkara-perkara pahit? Kenapa selalu saja rasa sendu dan duka, kadang melarat dari pagi membawa ke petang.
Sedangkan tangan masih ditadah, masih lagi berbicara doa pada Allah. Meminta itu ini, mengadu begitu begini. Memohon agar diampunkan semua dosa dan kesalahan diri. Namun hati, masih juga buntu dalam menemui erti ketenangan yang sebenar.
Kita muhasabah.... 
Mungkin kita tidak tersedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus ditemui ketenangan, andai masih lagi berbekas rasa. Bagaimana mesti kita diampuni, andai masih lagi belum rela melepaskan rasa dalam hati. Kita ingin Allah mengampunkan dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah. Kita membuat mereka terluka. Terluka dengan sikap kita.
Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia fitrahnya sentiasa  berteman khilaf. Yang selalu kalah dengan ujian yang Allah beri. Yang selalu dan tak malu mengaku lemah. Sedangkan Allah terang-terangan lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.
Kita ini manusia, yang selalu bersembunyi di balik dinding bernama mangsa. Kita ini manusia, yang tidak mahu memaafkan hanya beralasan 'kita bukan nabi, kita manusia biasa'...
Kadangkalanya kita mangsa dan mengenang betapa diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, diperlakukan sebegini... lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi sebuah kemaafan.
Mengapa boleh berlaku sedemikian? 
Ya, kerana kita sebenarnya lupa. Yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan.

Tersiratnya, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak, kita ini menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Nauzubillahiminzalik. Astagfirullah.
Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi, sedia mengampunkan dosa hatta setinggi gunung. Sedangkan Allah, di dalam al-Quran berkali kali menegaskan yang dia Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Sedangkan Dia, yang mahu hambaNya memohon ampun walau berkali-kali melakukan dosa.... Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain. Siapa kita? Siapa? 
Benar, memaafkan memang tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati tidak pernah peduli. Tidak pernah menghulur maaf. Tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah olah tidak pernah berlaku satu apa pun kesalahan atas bahunya.
Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, perlu apa kita mengeluh kesah?
Percayalah, bila mana memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang. Rasa damai. Rasa lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana kita tidak lagi menanigisi sesuatu yang telah terjadi.
Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai tusukan sembilu, doakanlah kerana tidak merugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.
Sukar. Sudahlah memaafkan itu payah, lagikan pula mendoakan untuk mereka? Tapi percayalah, memberi kemaafaan itu memberi jalan tenang, memaafkan itu membuka hati semakin lapang. Mendoakan buat mereka yang menganiaya adalah kemuncaknya. Hakikatnya merekalah sebenarnya yang patut dikasihani, kerana bukan saja mereka menzalimi kita, tapi juga menzalimi diri mereka sendiri... Bukankah orang seperti itu patut didoakan?
Walaupun pada saat ini mereka menyakiti dan menzalimi diri kita, mereka dikatakan seorang yang zalim bukan sahaja ke atas diri sendiri malah ke atas diri orang lain juga. Namun, kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri. 

Andai belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka pintalah. Setiap kali berdoa, pintalah kebaikan untuk mereka. Janganlah sesekali kita mendoakan keburukan buat mereka. Sebaik-baik mukmin dan 'sekuat-kuat' mukmin itu ialah dia tidak membalas kejahatan, kemarahan, kesakitan yang diberikan oleh mukmin yang lain sekalipun dia berkuasa dan berupaya untuk membalasnya.
Maka doakanlah dirinya dan jangan lupa agar istiqamah untuk mendoakan kebaikan juga buat diri kita sendiri.
Ya Allah,
Ampunilah dosa dan ketelanjuran kami,
Jauhkan kami dari cuba menumpang hakMu,
Jauhkan kami dari rasa dendam dan sakit,
Kami manusia, yang tidak malu berbuat dosa,
Yang tidak segan mengumpul noda,
Ampunilah kami, hambaMu yang hina,
Berikanlah kami hati yang tabah, hati yang kuat,
Untuk memberi maaf, demi mencari ampunanMu...
Amin ya Rabb.