JellyPages.com

Monday, December 31, 2012

My Political View

Assalamualaikum buat pelawat blog . Diharap anda sihat sejahtera hendaknya .

  Untuk catatan blog pada hari pertama tahun 2013 ini , saya ingin menyentuh sedikit mengenai soal politik . Semua rakyat Malaysia maklum , Pilihanraya Umum (PRU) ke - 13 akan diadakan pada tahun ini , memandangkan penggal Parlimen akan tamat pada April ini . Pilihanraya kali ini dijangka hangat , kerana terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan . Ia juga bakal menjadi penunjuk aras tahap penerimaan rakyat terhadap transformasi yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) .

  Selama aku hidup selama 24 tahun di Malaysia , aku berasa bersyukur kerana kerajaannya diterajui oleh parti pemerintah yang mempunyai formula terbaik bagi memastikan rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bersama dalam keadaan harmoni . Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai pemilih . Aku akan mengundi buat pertama kali pada PRU13 nanti . Pilihanraya adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia .

  Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berpelembagaan . Yang di Pertuan Agong berperanan sebagai ketua negara . Kerajaannya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen , di mana wakil rakyat dipilih melalui proses pilihanraya , dan akan menjadi suara rakyat di Parlimen / Dewan Undangan Negeri . Undang-undang membenarkan seseorang yang memenuhi syarat bertanding dalam pilihanraya , samaada sebagai calon parti politik mahupun calon bebas . Cuma satu kelemahan ketara yang aku perhatikan dalam sistem pilihanraya ini , keputusan pilihanraya bukan ditentukan oleh siapa yang mengundi , tapi berapa ramai yang mengundi . Kalau yang mengundi tu semuanya orang bijak pandai , maka tak perlulah ada ceramah - ceramah politik dan kempen pilihanraya yang seringkali memainkan pelbagai isu demi menarik undi . Tak kiralah siapa pengundi tu , sama ada seorang Professor berkelulusan Ph.D mahupun seorang kerani yang hanya berkelulusan SPM , dia hanya boleh membuang undi sekali sahaja .

  Harapan aku untuk PRU13 nanti , tidak berlaku sebarang kekacauan dan huru-hara , sebagaimana yang berlaku dalam Perhimpunan Bersih 3.0 . Kekalkanlah Malaysia dalam keadaan aman , bertandinglah secara adil dan profesional . Setiap rakyat bebas untuk memilih calon mana yang sesuai bagi menggalas tanggungjawab mewakili mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) . Aku hanyalah seorang pengudi atas pagar , tak mahu terlalu taksub dengan ideologi politik sempit . Cukuplah sekadar hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah Rasul , nescaya tidak sesat selama - lamanya . Janganlah mengkafirkan saudara seagama , hanya kerana berlainan ideologi politik . Kita orang Melayu hanyalah bangsa yang kecil , perpecahan hanya akan memburukkan keadaan , sedangkan bangsa lain telah jauh meninggalkan kita dari sudut ekonomi . Kuasa politik yang kita pegang sekarang tidak mustahil jatuh ke tangan bangsa asing , sekiranya kita terus leka berpolitik . Jangan sampai menang sorak kampung tergadai .

  Setakat ini sahaja yang ingin aku sampaikan . Sekian , terima kasih kerana sudi membaca catatan blog yang tidak seberapa ini , semoga tuan/puan dipanjangkan usia . Wassalam .


Logo Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)

Parti-parti politik di Malaysia

No comments: